Teknik Kawal Stress Paling Mudah Untuk Surirumah

Hari-hari kita sibuk. Tapi kita tak tahu apa yang kita sibukkan.

Hari-hari kita penat. Tapi kita tak tahu apa yang kita penatkan.

Hari-hari kerja banyak. Tapi kita tak tahu apa yang kita kerjakan.

End up, kita rasa stress. Kita kecewa, kita rasa nasib kita tak sama macam orang lain. Tak indah, tak gembira.

Sedangkan waktu seharian yang kita guna itu, jika disenaraikan dalam satu kertas, sebenarnya baru kita akan nampak SESUATU.

Wowwww, rupanya banyak MANFAAT yang dah aku buat hari ni!

Ini apa yang zaty buat setiap hari. Lepas bangun subuh, zaty akan duduk kat meja sekejap. Ambil kertas dan pen. Then tulis TO DO LIST.

31398270_1790065427703112_1618060259930755286_n

Apa yang aku nak buat hari ni. Apa perkara yang aku kena setel hari ni. Dari siapkan breakfast, mandi anak, basuh baju hinggalah masak untuk lunch. Anything yang kita nak buat hari tu, kita tulis.

Then, lepas siap tulis kita terus buat gerak kerja. Setiap satu tugas yang dah siap, kita WAJIB potong tugasan yang kita tulis kat kertas tu.

Tahu apa perasaannya?

1) zaty rasa sangat gembira, seronok gila bila dapat siapkan satu task.

2) zaty rasa tak sabar nak siapkan task yang seterusnya. Rasa tak sabar nak potong task yang dah disiapkan dalam kertas kita tulis tu.

3) zaty rasa ada semangat dan energi luar biasa nak terus setelkan task demi task tiap-tiap hari.

4) zaty jumpa mana SLOT ME TIME yang zaty boleh selit untuk zaty habiskan masa. Bukan 15 minit. Kadang boleh dapat sampai 2 jam.

5) Rupa-rupanya dengan buat senarai macam ni, tugasan harian lebih cepat siap. Lepastu ada lebihan masa yang zaty boleh guna untuk baca buku, scroll fb, buat artikel.

6) Kita takde masa nak STRESS atau fikir benda bukan-bukan yang boleh buatkan kita down. Sebab otak kita dah tertumpu nak siapkan segala task yang kita tulis.

Walaupun kita tahu task yang kita buat hari-hari tu sama sebijik. Tapi zaty tetap tulis setiap pagi.

Ini namanya SELF MOTIVATION. Dia akan rasa satu kemenangan yang sangat BESAR bila kita berjaya potong dan terus potong task-task rumah yang dah selesai tu.

Perasaan kat hati ni? Tak tahu nak gambarkan betapa kita bangga dengan diri kita sendiri. Bila siap 2-3 task, zaty ambik masa untuk take 5. zaty raikan kemenangan sebab berjaya siapkan 2-3 task tadi.

Cara nak raikan kemenangan tu ikutlah. Kadang makan ais-krim, buat air milo, bergurau dengan fayyadh, scroll fb, baca artikel orang tulis. Anything dalam tempoh 5-10 minit tu kita raikan kejayaan kita.

Kita takde pilihan. Setiap hari kita tetap kena hadap benda yang sama. Cuma cara kita hadap tu yang membezakan diri kita dengan orang lain. Kalau kita lalui dengan positif, maka hidup kita penuh dengan senyuman.

Kalau kita lalui dengan cara negatif, sampai bila-bila pun mata hati kita akan dibutakan daripada boleh nampak cahaya kehidupan.

P/s : to do list zaty ada 3 kertas. Kerja rumah harian, kerja bisnes dengan 1 week to do list. Mana yang urgent, zaty akan buat kotak merah kat tulisan tu. So yang urgent zaty akan setelkan dulu.

Ezzaty Suffian
Hari-hari nak jemput positive vibes dalam diri-sendiri.

5 Tips POWER untuk Wanita Atasi Rasa Marah dan Stress

Setiap hari dan setiap masa, ini yang isteri dan ibu terpaksa lalui :

1) kerja rumah bertimbun tak pernah habis
2) anak meragam dan macam-macam karenah
3) berkejaran dengan masa. Ibu bekerjaya dengan kerja pejabat + kerja rumah. Suri rumah berniaga online dengan kerja online + kerja rumah

Sampai satu tahap, kita akan rasa Ya Tuhan, aku rasa penatttt sangat. Rasa letihhh yang teramat. Aku nak rehat, aku taknak buat semua ni dah.

Waktu ni kita rasa dah hampir sangat kepada nak give up. Putus asa.

Sampai satu tahap, kita rasa emosi dah start tak betul. Dah mula nak marah-marah atau menangis tanpa sebab. Dah mula memanjang tarik muka masam.

Pantang anak buat salah sikit, kita punya jerit sampai satu perumahan dengar. Tangan jangan cakaplah. Cepat je kita pukul, cubit anak. Betapa nak cakap kita sakit hati dengan karenah anak-anak.

Sedar tak sedar, stress dah mula tertanam dalam jiwa kita. Kalau tak “diubat” dengan cara yang betul dan pantas, kemungkinan besar boleh develop depress yang lebih besar mudaratnya pada diri-sendiri, anak-anak dan suami.

Ramai ibu yang minta tips dari zaty macam mana nak kawal stress dan sifat amarah dalam diri. Dan di sini zaty kongsikan teknik yang zaty amalkan sebelum berlakunya stress atau semasa stress tengah gila-gila meracun diri.

TINDAKAN APABILA DITIMPA MASALAH

Ada masalah atau ujian yang Tuhan bagi untuk kita berfikir dan selesaikannya. Tapi ada juga bentuk ujian dan masalah yang diberi sekadar untuk buatkan kita kembali ingat dan sujud padaNya (tak jumpa penyelesaian).

Dalam buku REZEKI LEVEL 9 yang zaty baca, ada satu cara macam mana kita nak tahu ujian yang Tuhan bagi tu untuk kita selesaikan atau untuk kita kembali sujud/bertaubat kepadaNya.

1) Apabila ujian atau masalah datang, dan kita ada idea untuk selesaikannya  kita perlu selesaikan dan kita akan belajar benda baru daripada masalah yang timbul.

2) Apabila ujian atau masalah timbul, kita buntu tak tahu nak buat macam mana. Dan masalah itu datang bertimpa-timpa sampai kita rasa nasib dah cukup malang  takda cara lain melainkan segera sujud minta keampunan dari Allah.

Hakikatnya, sama ada ujian atau masalah kita berada pada nombor 1 atau nombor 2, sebaik-baiknya kita buatlah solat sunat taubat. Kita hamba yang berdosa. Hari-hari buat dosa sama ada kita sedar ataupun tak.

Tuhan turunkan ujian tak lain tak bukan untuk ingatkan kita bahawa kita hidup berTuhan. Dan setiap ujian yang datang Tuhan janji untuk permudahkannya, lapangkannya hanya apabila kita bertaubat dan beristighfar kepadaNya.

“Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan berikan KEGEMBIRAAN dari setiap kesedihan, KELAPANGAN untuk setiap kesempitan dan memberinya REZEKI dari arah yang tak disangka-sangka”
(Hadith Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Allah berfirman : Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh, maka kejahatan mereka diganti Allah dengan KEBAJIKAN. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
(Surah Al-Furqan : 70)

TIPS 1

Setiap pagi, setiap hari apa yang kita jamu dengan mata kita? Page/facebook siapa yang kita buka untuk baca dan cari bekalan sepanjang hari kita?

Banyak yang positif atau negatif?

Kisah Rumah Tangga, IIUM Confession antara page yang paling banyak orang perempuan baca. Konon-konon kisah yang dikongsi tu nak dijadikan sempadan dan pengajaran pada kita dan rumah tangga kita.

Persoalan zaty, lepas baca tu ada terfikir-fikir sampai ke petang tak? Ada rasa tiba-tiba emosi jadi gelisah atau marah dan tiba-tiba down, rasa sedih, rasa nak menangis? Ada tiba-tiba tanya soalan pelik kat suami bila diorang balik dari kerja?

Kalau jawapannya YA, nasihat zaty satu je. Kita tak sesuai untuk ambil tahu banyak perkara dalam hidup kita. Tambah-tambah cerita tentang hidup orang lain yang penuh duka dan sedih. Kita bukan kaunselor mahupun motivator.

Alangkan masalah dan ujian atas diri-sendiri pun kita rasa tak tertanggung. Murung sampai berminggu-minggu, macam mana pulak kita mampu nak menanggung masalah orang lain walaupun hanya membaca kisah yang diorang kongsi?

Tinggalkan lah semua page atau personal facebook orang yang boleh bawa emosi negatif dalam diri kita. Fikir satu benda je, cukuplah kita stress dengan ujian atau masalah dalam hidup kita. Tak perlu kita nak tambah stress dengan ambil tahu masalah hidup orang lain.

Banyakkan baca page/personal facebook orang yang selalu kongsi ilmu, semangat dan ibrah. Rajinkan baca buku yang boleh buatkan kita rasa nak tambah ilmu dan amal. Yang buatkan kita rasa semangat nak teruskan kehidupan, yang bagi kita idea untuk tambah manfaat dalam kehidupan keluarga kita.

TIPS 2

Femes dah kan dengan perkataan MEMBAWANG sekarang. Lagi banyak kita membawang/bergosip/bercerita tentang benda negatif, maksudnya akan lagi banyaklah benda negatif yang masuk ke dalam otak kita.

Sama macam bahan bacaan tadi. Bila kita dok dengar dan cakap benda-benda yang negatif, kita akan terfikir-fikir perkara tu sampai berhari-hari.

Finally kita akan stress. Dahlah kita memang tengah stress. Lagi bertambah beban stress dalam otak dan emosi kita. Seriusssss, penat sangat tau.

Berhenti bergosip. Berhenti mengumpat. Jauhkan diri dari dengar orang lain membawang. Tahan diri dari nak cerita buruk orang. Cakap perkara yang baik-baik. Dengar benda yang elok-elok.

InshaaAllah akan kurang 50% stress daripada kepala kita.

TIPS 3

Salah satu sebab kenapa kita cepat sangat nak rasa stress dan marah. Sebab kita cepat dan terlalu mudah nak bersangka buruk dengan orang.

Bersangka buruk dengan suami, bersangka buruk dengan anak-anak. Bersangka buruk dengan jiran, kawan sekerja.

Bersangka buruk dengan Allah (Ampunkan kami Ya Allah😢).

Dari bersangka buruk inilah kita akan mula rasa nak mengumpat, nak sakitkan hati orang lain, nak engkar suruhan Tuhan.

Dari bersangka buruk ini jugalah buatkan kita bebankan otak dengan berfikir tak habis-habis. Yang akhirnya akan buatkan diri-sendiri stress dan murung tak bertempat.

Sedangkan apa yang berlaku tu bukan seperti apa yang kita sangkakan atau kita fikirkan.

Bagi zaty, sangka buruk adalah ibu segala kejahatan. Ibu segala permasalahan. Ibu segala tekanan.

Tak mudah untuk nak sentiasa fikir yang baik-baik, sangka yang baik-baik. Tapi sebagai manusia yang sentiasa nakkan kebaikan, kita push diri kita untuk cuba fikir benda yang baik. Untuk sentiasa sangka yang baik-baik.

Dengan cara ini, InshaaAllah kehidupan kita akan jadi lebih baik.

TIPS 4

Dalam talk Dato’ Dr Fadzilah Khamsah yang zaty dengar awal tahun lepas, beliau beramal dan ada bagi saranan untuk kita amalkan solat sunat taubat setiap malam sebelum tidur.

Sebab paling kuat kita kena buat solat sunat taubat ni adalah kita hari-hari buat dosa. Sama ada yang kita sedar ataupun tak.

“Manusia akan mula jadi JAHAT dan SOMBONG bila dia sangka dirinya baik dan tak berbuat salah mahupun dosa”

Nauzubillah. Moga kita dijauhkan daripada ada perasaan macam tu. Adalah lebih baik bila kita sentiasa tahu kita bersalah dan berdosa. Supaya kita tak lupa Tuhan kita dan kita tak malas untuk minta ampun dariNya.

Setakat ni zaty sendiri belum dapat konsisten buat solat sunat taubat tiap-tiap malam. Tapi zaty cuba juga untuk buat seminggu sekali/dua kali.

Memang lain perasaannya bila kita dapat buat amalan yang satu ni. Perasaan tenang yang Tuhan bagi lepas solat taubat tu tak boleh nak digambarkan dengan kata-kata. Tenangnya tu sampai rasa nak mengalir air mata.

Hilang terus apa yang buatkan hati kita gusar, fikiran kita kusut, emosi yang marah atau sedih. Allah hilangkan semua yang buruk-buruk tu dari dalam fikiran dan emosi kita.

Dan dia gantikan dengan idea yang bernas, semangat yang membara, emosi yang tenang dan ceria.

Betul sangat. Janji Tuhan tak pernah menipu. Subhanallah.

TIPS 5

Finally, apa yang buatkan kita stress, kita sedih, kita marah dan tak puas hati?

Laluinya dengan tabah. Setiap kali kita diuji, cara yang terbaik adalah kembali kepada Tuhan, raja sekalian alam.

Mengadu dan berceritalah kepadaNya walau dalam tangisan yang teresak-esak.

zaty pegang satu perkara. Kesedihan dan masalah takkan selama-lamanya menghantui hidup kita. Sekalipun kita tak mampu selesaikannya, masa akan membawa segala duka-lara kita dan akan digantikan dengan kehidupan yang lebih baik.

Sama macam hujan yang takkan selamanya turun tanpa henti. Pasti muncul juga matahari yang menyinari bersama sang pelangi indah yang menemani alam.

Dan sampai bila kita nak berterusan stress dan sedih?

Sedangkan masa begitu cepat berlalu sampai satu tahap, roh kita akan dipanggil Tuhan kembali ke alam kekal (mati).

Usah kita berlama-lama dengan kesedihan dan stress. Jangan kita berterusan dengan hidup yang negatif. Sebelum saat atau masa kematian kita sendiri tiba, lalui kehidupan ini dengan penuh positif.

Hargai insan yang ada di sekeliling kita. Anak-anak dan suami/isteri. Enjoy dengan peluang kehidupan yang diberikan. Berikan atau ciptakan memori dan kenangan terindah untuk kita sentiasa ingat bersama-sama dengan mereka yang tersayang.

 

Ezzaty Suffian
Menjaga emosi untuk kekal positif adalah satu perjuangan yang bukan mudah

 

CONNECTION BEFORE CORRECTION

Banyaknya kita selalu nak BETULKAN dulu anak. Sikitnya kita untuk HUBUNGKAN perasaan dan emosi anak.

Sedangkan “kids do better when they feel better”

Sama je macam kita. Bila rasa disayangi dan diberi perhatian, kita rasa semangat nak buat benda baik yang tak sakitkan hati pasangan.

Jiwa anak kecil lagiiii lah perlukan belaian. Senakal-nakal anak, bila kita tabur dengan kasih sayang, siram dengan perhatian tanpa sempadan, InshaaAllah tunduklah dia.

Mudahlah dia nak mendengar kata, mudahlah kita nak tegur salah dia, mudahlah kita nak bentuk akhlak dan peribadinya.

1) berapa kali sehari kita peluk anak?

2) berapa kali sehari kita cium anak?

3) berapa kali sehari kita ucapkan “i love you” pada anak?

4) berapa kali sehari kita betul-betul spend quality time dengan anak?

5) berapa kali sehari kita bergurau-senda dengan anak?

Last question, adakah kita suap anak makan dengan tangan kita sendiri sekurang-kurangnya sekali sehari?

Ezzaty Suffian
Belai emosi anak sebelum anak mampu belai kehendak kita

Rasional VS Emosional Terhadap Anak

Kalau tanya zaty, apa yang palinggg ‘crucial’ atau paling genting, paling penting sangat yang mesti ada dalam diri seorang ibu dan isteri?

Jawapannya cuma satu. Rasional.

Rasional versus Emosional.

2 ke 3 hari ni, zaty dapat banyak sangat PM yang berkongsi kisah, yang minta tips macam mana untuk kawal stress, kawal emosi dan kawal diri daripada menjerit, menjerkah serta naik tangan pada anak-anak.

Mereka sedar yang kesan pada diri anak akibat daripada sikap kasar ibu dah menjadikan anak semakin kuat tantrum, baling-baling barang setiap kali marah, pukul dan jerit pada adik-beradiknya yang lain.

Anak dah mula refleks pada setiap tindakan kita. Dia dah mula belajar untuk melepaskan kemarahan atau kesedihan dan tak puas hati dalam dada dengan cara yang sama macam kita buat. Marah, jerkah, pukul dan semua lagi tindakan kasar.

Allahu Allah. Wahai ibu-ibu, zaty speechless.

Sebab zaty sendiri pernah ada dalam fasa penuh kegelapan tu. Zaty sendiri pernah marah fayyadh, herdik, tengking dia. Tiap-tiap hari zaty buat. Lagi fayyadh datang mendekat, lagi zaty rasa terganggu.

Semuanya bermula bila zaty diuji dengan kejatuhan bisnes sendiri. Yang zaty bangunkan selama 3 tahun dengan penat lelah, titik peluh sendiri. Yang zaty harapkan akan lebih berkembang, akhirnya jatuh tersungkur.

Jatuhnya bukan jatuh kosong. Dia bawa sekali semua duit modal dan untung yang kita ada. Hingga tak tinggal walau sesen pun. Sampai barang kemas sendiri pun terpaksa digadaikan demi sesuap nasi.

Susahnya hidup waktu ketika itu. Sangat susah.

zaty down, zaty murung, zaty putus asa, zaty rasa tak mampu nak teruskan kehidupan lagi. Semuanya macam dah tak berguna.

Emosi level waktu tu zero. zaty tak nampak mana yang positifnya. Semuanya buruk, semuanya negatif. zaty takde tempat nak luahkan perasaan.

Tapi zaty ada tempat nak luahkan kekecewaan dan kemarahan. Siapa lagi kalau bukan fayyadh yang kena. Hari-hari hanya marah. Hari-hari tiada pelukan. Hari-hari tiada kata-kata sayang. Hari-hari zaty just cakap, “please stay away from me!”

Mula-mula fayyadh menangis je. Tapi lama-kelamaan, personaliti dia jadi kasar. Dia tantrum gila-gila. Kalau bukan sejam tantrum tu memang tak sah. Dia baling-baling barang. Dia sakitkan diri dia sendiri.

Menangis bila dikenangkan saat-saat fayyadh diuji dengan sikap umminya ni.

Dan semuanya berubah bila tiba-tiba kucing kesayangan zaty mati. zaty macam tersedar, tersentap. Dalam pada zaty menangis sedih, tiba-tiba zaty nampak fayyadh dengan muka dia yang putih bersih macam berbedak, tenang dalam tidur. zaty nampak dia dalam keadaan yang berkain kapan.

zaty nampak semua ni waktu zaty tengah solat subuh. Ya Tuhan. Lagi teresak-esak zaty menangis. Baru nampak betapa banyak dan besarnya dosa zaty pada fayyadh. Terasa macam kepala baru diketuk dengan tukul yang besar. Terhentak.

zaty tarik dan peluk fayyadh.

“Ummi minta maaf, fayyadh”
“Ummi minta maaf, fayyadh”
“Ummi banyak dosa pada fayyadh”

Dia blurrr je waktu tu. Sebab tengah tidur kan. Huhu

Sejak dari fasa kegelapan tu, baru zaty tergerak hati nak buat solat sunat taubat. Minta ampun dengan Allah atas segala dosa yang zaty dah buat. Atas segala silap zaty yang abaikan fayyadh macam tu je.

zaty redha dengan kejatuhan bisnes tu. Dan lepas rasa betul-betul redha dengan ujian yang melanda tulah, barulah zaty rasa lega teramat sangat. Tenang, damai sangat macam kita baru dapat keluar dari bilik yang sempit dan gelap.

Bertaubat kita mesti disertai dengan azam yang kuat untuk berubah.

Setiap pagi sehingga ke hari ini, zaty bangun dan luahkan rasa syukur sebab masih dipanjangkan umur, masih diberi peluang untuk punya fayyadh dan abah dia. Masih ada mak ayah yang sihat di kampung.

Setiap pagi sehingga ke hari ini, zaty akan pastikan tiada emosi negatif, marah, sedih, kecewa yang menguasai hati untuk mulakan hari baru. Walaupun kadang-kadang memang ada.

Tapi, zaty cakap pada diri-sendiri, aku mesti rasional. Aku mesti tenang. Walau apa pun cabaran yang berlaku hari tu aku mesti laluinya dan hadapinya sebagai orang yang berakal, sebagai manusia yang sabar.

Setiap pagi hingga ke hari ini, setiap kali hati tiba-tiba dilanda gusar, cemas dan tak tenang tanpa sebab, zaty cepat-cepat berwudhuk dan buat solat sunat taubat 2 rakaat. Mohon ampun pada Allah kiranya ada dosa yang sedar atau tak yang kita dah buat.

3 tips ni je yang zaty buat setiap pagi hingga ke hari ni. Semuanya untuk kekalkan tahap rasional diri dan nak matikan emosi negatif, nafsu jahat yang selalu cucuk kita untuk jadi seorang yang kusut dan pemarah.

Sangat-sangat berkesan pada zaty. Alhamdulillah.

Bila ibu rasional : anak tumpahkan susu, pecahkan pasu, sepahkan mainan pun kita boleh hadapi dengan senyuman.

Tapi bila ibu emosional : anak minta air, anak tarik tangan ajak main, anak nak peluk kita, benda ni akan jadi benda yang stress dan beban sangat pada kita.

Kuatkanlah hati ibu, tabahkanlah hati ibu tiap kali diduga dan diuji. Lalui setiap detik hidup bersama dengan anakanda dan suami dengan penuh rasa indah dan berbunga.

Ibu adalah jantung dalam keluarga. Positif seorang ibu, maka bercahayalah sebuah rumah tangga. Tenangnya jiwa ibu, maka amanlah dunia tiada gegak-gempita. Gembiranya hati ibu, maka berjayalah hidup anak-anak dunia dan akhirat. InshaaAllah.